CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Ahad, 10 Januari 2010

KEUTAMAAN BERSALAM DAN BATASAN BERSALAMAN

عن حذيفة بن اليمان – رضى الله عنه - عن النبى صلى الله عليه وسلم قال :
إن المؤمن إذا لقى المؤمن فسلم عليه و أخذ بيده فصافه تناثرت خطاياهما كما يتناثر ورق الشجر – رواه طبرانى-

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a daripada Baginda
Nabi s.a.w berkata:Seorang mu’min apabila bertemu dengan
seorang mu’min kemudian memberi salam kepadanya dan
mengambiltangannya kemudian bersalaman. Maka
berguguranlah dosa kesalahan mereka berdua sebagaimana
berguguran daunan pokok.

عن البراء -رضى الله عنه - قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا

Daripada Al-Barra’ r.a – Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak berlaku dua orang muslim yang berjumpa kemudian
bersalaman melainkan akan diampunkan dosa mereka sebelum
mereka berpisah.

Banyak lagi hadis yang menerangkan tentang keutamaan
bersalaman. Namun ia di batasi dengan hadis

قالت عائشة أم المؤمنين – رضى الله عنها :-
وما مست كف رسول الله صلى الله عليه وسلم كف امرأة قط

Berkata Saidatina ‘Aisyah Ummul Mu’minin r.a:
Tidak pernah langsung telapak tangan Baginda Rasulullah
s.a.w menyentuh telapak tangan wanita.

Ini menunjukkan bahawa ada panduan dalam bersalaman.
Bukanlah harus semata-mata dan bukan haram semata-mata
berdasarkan kaedah yang diajar oleh para ulama yang
berpandukan Al-Quran dan Hadith badinda s.a.w.


كل عضو حرم النظر إليه : حرم مسه ولا عكس إلا الفرج فإنه يحرم نظره في وجه و يجوز مسه بلا خلاف

Setiap anggota yang haram dilihat haram juga disentuh,
berbeza dengan sebaliknya (iaitu setiap anggota yang
haram disentuh tidak semestinya haram dilihat) kecuali
kemaluan, kerana kemaluan itu haram dilihat -
menurut sesuatu pandangan - dan boleh disentuh tanpa khilaf.

(ruj. Al-Asybah wa An-Nazo’ir m.s811 cet Dar-Salam)

Baiklah, untuk mengetahui siapa yang boleh dan siapa yang
tidak boleh kita bersalaman, perlulah kita mengetahui
siapakah mahram kita.

(mahram yer bukan muhrim..muhrim itu maknanya orang yang
berihram, jangan salah faham lagi)

Rumusan mahram bagi lelaki.

(A)Mahram hubungan tali kekeluargaan.

1. Ibu
2. Anak perempuan
3. Adik beradik perempuan
4. Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
5. Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
6. Makcik (adik beradik ibu)
7. Makcik (adik beradik bapa)

(B)Mahram dengan sebab susuan dan musoharah (perkahwinan)

1. Ibu mertua
2. Anak tiri perempuan
3. Isteri bapa (ibu tiri)
4. Menantu perempuan.
5. Isteri atuk (nenek tiri)

(ruj. Al-Majmuk jilid 2 m.s 35 Dar-Fikr cet.2000)


Huraian mahram bagi lelaki.

Haram nikah kerana nasab iaitu kerabat ada 7
sepertimana Firman Allah :



bermaksud : Diharamkan atas kamu (mengawini) ibu-ibumu;
anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang
perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan;
saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak
perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki;
anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang
perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu;
saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu
(mertua); anak-anak isterimu yang dalam
pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri,
tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu
(dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu
mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak
kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkawinan)
dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah
terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.

surah An-Nisak ayat 23

1) Ibu
- Setiap yang melahirkan kamu(ibu kandung)
- Begitu juga ibu kepada ibu kamu (nenek)
dan ke atas (ibu kepada nenek dan ke atas)
- Begitu juga dari bahagian bapa seperti ibu kepada bapa
(iaitu nenek sebelah bapa) dan nenek-nenek bapa.

2) Anak perempuan
- Setiap anak perempuan kandung kamu.
- Setiap anak perempuan yang lahir daripada anak
kandung kamu (iaitu cucu perempuan)

3) Adik beradik perempuan
- adik beradik perempuan seibu sebapa(adik beradi kandung)
- adik beradik perempuan seibu(adik beradik perempuan tiri)
- adik beradik perempuan sebapa(adik beradik perempuan tiri)
- Bernikah dengan mereka haram sama ada adik beradik
perempuan kandung atau tiri

4) ‘Ammah - Makcik (adik beradik bapa)
- Mereka adalah adik beradik bapa, sama ada adik beradik
kandung bapa kita atau adik beradik tiri bapa kita.
- Kemudian makcik kepada bapa(nenek sedara) dan makcik
kepada ibu(nenek sedara)
- makcik kepada atuk dan makcik kepada nenek.

5) Kholah - Makcik (adik beradik ibu)
- Mereka adalah adik beradik ibu, sama ada adik beradik
kandung atau tiri.
- Kemudian makcik kepada bapa dan makcik kepada ibu.
- makcik kepada atuk dan makcik kepada nenek.

6) Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
- Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki,
sama ada adik beradik lelaki kandung dan tiri.
- Kemudian, anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik
beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik
beradik lelaki).
- Anak perempuan kepada anak perempuan daripada adik
beradik lelaki(iaitu cucu perempuan daripada adik
beradik lelaki).
- Dan ke bawah(iaitu cicit perempuan daripada adik beradik
lelaki).


7) Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
- Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan,
sama ada adik beradik perempuan sebapa seibu atau adik
beradik perempuan sebapa atau adik beradik perempuan
seibu.
- Begitu juga anak perempuan kepada anak lelaki daripada
adik beradik perempuan (iaitu cucu perempuan daripada
adik beradik perempuan).
- Anak perempuan kepada anak lelaki daripada anak perempuan
daripada adik beradik perempuan (iaitu cicit perempuan
daripada adik beradik perempuan)
- Dan ke bawah.


Huraian mahram sebab Musoharah (perkahwinan)

1) Ibu kepada isteri (ibu mertua)
- sama ada sudah bergaul dengan isteri atau belum.
- Ibu mertua seperti ibu kandung kamu.
- sama ada ibu kandung isteri kerana nasab atau ibu susuan.
- Begitu juga haram ke atas lelaki setiap yang bersambung
kepada isterinya dari kalangan nenek (iaitu nenek-nenek
yang bersambung daripada isteri). Nenek daripada bapa
isteri atau nenek daripada ibu isteri.

2) Anak perempuan isteri (anak tiri)
- Tidak menjadi haram (muabbad) kecuali setelah bersama
dengan isteri.

Masalah:
[Berkahwin dengan seseorang wanita tetapi tidak dukhul
(tidak jimak atau bersetubuh) kemudian bercerai,
maka dia boleh berkahwin dengan anak perempuannya
(bekas anak tiri).

Tetapi jika sudah dukhul, maka dia tidak boleh berkahwin
dengan anak tirinya walaupun setelah diceraikan ibunya.

Manakala apabila berkahwin dengan seorang perempuan maka
tidak boleh berkahwin dengan ibunya buat selama-selamanya
(ibu mertua adalah haram muabbad) sama ada dukhul atau
tidak dukhul)

3) Isteri anak lelaki (menantu)
- Begitu juga isteri kepada anak lelaki anak kamu
(isteri cucu kamu)
- Dan ke bawah dengan sebab nasab atau susuan.

4) Isteri bapa (ibu tiri)

- Termasuk juga isteri bapa (ibu tiri) dan isteri atuk
(nenek tiri) dan ke atas daripada pihak bapa atau ibu
atau kedua-duanya. Diharamkan juga berkahwin dengan
isteri bapa daripada susuan.

5) Menghimpunkan isteri antara dua adik beradik.

Kelima-lima pengharaman tersebut bersumber dari Al-Quran
dan terdapat dua sumber pengharaman daripada Sunnah iaitu:

1. Menghimpunkan antara isteri dan ‘Ammahnya
(makcik daripada adik beradik bapa)
2. Menghimpunkan antara isteri dan Kholahnya
(makcik daripada adik beradik ibu)

(ruj. Al-Majmuk jilid 17 m.s 377- 379 Dar-Fikr cet.2000)

0 ulasan: